Raihan Online for your daily inspirations

Share Ideas about schools, hobbies, family activities, blogging, writing with me here.

Archive for September, 2008

SELAMAT HARI RAYA!!!

Posted by raihanonline on September 29, 2008

http://tn3-1.deviantart.com/fs8/300W/i/2005/311/d/2/SELAMAT_HARI_RAYA_AIDIFITRI_by_netcyber.jpg

SELAMAT HARI RAYA BUAT SEMUA UMAT ISLAM!!

SEMOGA LEBARAN KALI INI LEBIH MEMBERI MAKNA BUAT KITE SEMUA..

Di kesempatan ini, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan saya sepanjang menghasilkan blog ini..mungkin ada coretan yang menyinggung perasaan atau tersilap bahasa, harap segalanya dimaafi…buat mereka yang ingin balik ke kampung untuk berhari raya, hati-hati lah semasa memandu.. ingatlah keluarga tersayang.. hari raya merupakan hari kemenangan untuk umat islam setelah sebulan berpuasa bukan hari untuk ditangisi… mulakan lah perjalanan dengan membaca doa… semoga hari raya yang mulia ini kite akan sentiasa dirahmati dan di berkati Allah S.W.T.. :)

Posted in 1 | Leave a Comment »

Teladani puasa Rasulullah S.A.W

Posted by raihanonline on September 20, 2008

AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah (contoh teladan) yang baik kepada umatnya.

Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah – sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. (riwayat Bukhari)

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang diambil oleh baginda antaranya:

l Memantapkan niat – Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

l Melaksanakan makan sahur – Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

l Imsak Rasulullah – Rasulullah bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

l Mempercepat berbuka – Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT “hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

l Memperbanyak membaca al-Quran – Rasulullah bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).

Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarrus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

l Memperbanyak sedekah – Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

l Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Terdapat beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah berkaitan ibadat puasa ini sebagai iktibar kita bersama. Antaranya ialah:

“Orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi – Aisyah dan Ummu Salamah berkata sesungguhnya Nabi SAW pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian mandi dan berpuasa” Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah SAW bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu”.

l Mencium isteri – Orang yang berpuasa boleh mencium isteri. Aisyah r.a. berkata, Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mencium sebahagian isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa.

Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.

l Makan dan minum kerana lupa – Abu Hurairah r.a. berkata Nabi telah bersabda yang bermaksud: Apabila ia (orang berpuasa) lupa lalu makan dan minum tanpa disengajakan, hendaklah ia terus menyempurnakan puasanya kerana Allahlah yang telah memberi makan dan minum kepadanya. (riwayat Bukhari)

l Orang yang meninggal dan berhutang puasa – Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang meninggal dan punya hutang puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

l Orang musafir – Orang yang bermusafir dibenarkan untuk berbuka puasa jika ia tidak mampu untuk meneruskannya. Aisyah meriwayatkan bahawa Abu Hamzah al-Aslami berkata kepada Nabi, “bolehkah aku berpuasa di dalam musafir?” Lalu jawab baginda, “Jika kamu ingin berpuasa, berpuasalah. Jika engkau ingin berbuka, berbukalah!”.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak menanti.

Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malam bulan Ramadan ada suara yang memanggil, “Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka”.

Posted in 1 | Leave a Comment »

10 cara meraikan ramadan

Posted by raihanonline on September 6, 2008

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)

RAMADAN yang dikenali sebagai syahrul barakah atau bulan berkat mempunyai pelbagai kelebihan.

Muslim yang mukmin hendaklah mengambil peluang Ramadan kali ini bagi meningkatkan ketakwaan agar puasa kita mencapai tahap puasa khawasil khawas (orang khusus).

Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.

Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.

Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Posted in 1 | Leave a Comment »